Skip to main content

DIVISION OF INDUSTRY & COMMUNITY NETWORK

LAWATAN PEMANTAUAN PROJEK KOMUNITI UNIMADANI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA OLEH JABATAN PENDIDIKAN TINGGI, KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT).

Unimadani 1

25 Januari 2025- Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pejabat Bahagian Jaringan Industri telah menerima kunjungan Jabatan Pendidikan Tinggi ke Pulau Pinang bagi sesi pemantauan  Projek UNIMADANI yang telah dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Projek Tanaman Cendawan Mycelroom di Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah.

Universiti Sains Malaysia (USM) komited memanfaatkan kepakaran dan penyelidikan untuk memacu ekonomi komuniti berasaskan ilmu dan kemahiran teknologi. Projek ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar, bertujuan untuk meningkatkan pendapatan komuniti asnaf, mencipta peluang pekerjaan, dan memperbaiki taraf ekonomi tempatan melalui pertumbuhan industri cendawan yang berkesan. Melalui pembangunan rumah cendawan pintar berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) dan Penglihatan Mesin (Machine Vision), projek ini telah berjaya meningkatkan produktiviti sehingga tiga kali ganda, mengurangkan kos operasi sebanyak 50%, dan mempercepat tempoh tuaian. Dengan anggaran hasil 550 kg cendawan semusim, peserta memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM 1,200–RM 1,500. Projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1, 2, dan 10 melalui latihan keusahawanan, inovasi pertanian, dan usaha mengurangkan ketidaksamaan ekonomi. Dengan pendekatan holistik yang menggabungkan pemindahan ilmu dan teknologi, projek ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1, 2, dan 10 melalui latihan keusahawanan, inovasi pertanian, dan usaha mengurangkan jurang ekonomi.

Lawatan ini diketuai oleh Encik Ahmad Rizal bin Adnan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), bersama Dato’ Dr. Mohd Sharil Bin Abdullah, Pengarah Bahagian Hubungan Industri. Turut hadir ialah YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak, Pengarah Bahagian Jaringan Masyarakat USM, Prof. Madya Dr. Shahir Akram Hassan, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Encik Shainth Subramaniam, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hubungan Industri,  serta para sukarelawan akademik dan sosial USM.

Pada akhir sesi lawatan, para tetamu diberi peluang untuk berdialog bersama penerima manfaat dan menikmati hidangan istimewa berupa produk cendawan goreng, hasil usaha penerima manfaat projek ini. Lawatan ini menyerlahkan kejayaan projek UNIMADANI dalam memperkasakan komuniti melalui inovasi dan kerjasama erat pelbagai pihak.

  • Hits: 19