Skip to main content

DIVISION OF INDUSTRY & COMMUNITY NETWORK

USM PERKUKUH KERJASAMA KOMUNITI MELALUI PERANCANGAN PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI 2026 DI KAMPUNG MELAYU

kg madani

KAMPUNG MELAYU, PULAU PINANG, 12 Mac 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasakan komuniti setempat apabila mengadakan sesi perbincangan bersama wakil komuniti Kampung Melayu bagi merancang pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI 2026.

Perjumpaan yang berlangsung di Kampung Melayu itu dipengerusikan oleh Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, dan dihadiri oleh wakil komuniti setempat serta pegawai BJIM bagi membincangkan secara terperinci keperluan komuniti yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan Kampung Angkat MADANI 2026
Menurut beliau, projek Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan program komuniti yang memberi impak langsung kepada penduduk setempat.
“Peruntukan yang diberikan akan digunakan secara optimum bagi memastikan projek yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan komuniti, khususnya dalam aspek keselamatan, keselesaan serta pembangunan sosial masyarakat,” katanya.
Dalam perbincangan tersebut, pihak komuniti dan BJIM telah mengenal pasti beberapa keutamaan infrastruktur di bawah Teras 2 yang memerlukan tindakan segera. Antara maklumbalas daripada pihak komuniti adalah penyelenggaraan taman permainan di kawasan Rumah 100, baik pulih Bangunan KRT Kampung Melayu dan mengatasi masalah kebocoran bumbung Surau
Perbincangan turut menyentuh usaha menaik taraf Pasar Pagi Kampung Melayu dengan menambah baik struktur bumbung agar lebih tersusun, bersih dan selesa, sekali gus berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan komuniti setempat.
Kesemua cadangan kerja infrastruktur ini akan dimuktamadkan dan diserahkan kepada pihak kementerian dalam bulan Mac bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dimulakan dalam masa terdekat. Pelaksanaan projek ini juga dijadualkan selesai sepenuhnya sebelum 31 Disember 2026.

kg madani 1

kg madani 2

kg madani 3

  • Hits: 63