Skip to main content

DIVISION OF INDUSTRY & COMMUNITY NETWORK

UNIT KARDIOLOGI HOSPITAL PAKAR USM PERKASAKAN KESIHATAN JANTUNG KOMUNITI ORANG ASLI POS RPS BANUN

WhatsApp Image 2026 05 20 at 4.44.52 PM 1

15 Mei 2026, GERIK – Unit Kardiologi Hospital Pakar USM telah melaksanakan program  saringan dan intervensi kesihatan jantung dibawah geran UniMADANI tahun 2025 yang memberikan impak mendalam kepada 150 penduduk Orang Asli di KOA RPS Air Banun, Gerik. Kehadiran pasukan pakar perubatan ini telah membuka lembaran baharu dalam memupuk kesedaran kesihatan di kawasan pedalaman yang selama ini berdepan cabaran akses kesihatan kritikal.

Sebelum program dilaksanakan, komuniti Orang Asli di kawasan ini menghadapi kekangan utama dari segi lokasi tempat yang membatasi akses awal kepada fasiliti kesihatan. Rentetan itu, wujud jurang kesedaran yang besar mengenai faktor risiko kardiovaskular dan simptom awal hipertensi. Majoriti penduduk didapati hanya mencari rawatan apabila penyakit sudah berada di peringkat yang serius dan bergejala parah. 

Bagi merapatkan jurang ini, penilaian terhadap Pengetahuan, Sikap, Kemahiran dan Amalan (PSKA) telah dijalankan terlebih dahulu untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan kesedaran penduduk. Intervensi digerakkan melalui sesi pendidikan interaktif yang memanfaatkan alat bantu visual, model fizikal, serta demonstrasi praktikal yang mudah difahami. Sesi konsultasi peribadi yang teliti turut dikendalikan secara langsung oleh pakar perubatan dan farmasi bertauliah. 

Sebagai langkah inovasi yang mampan, program ini telah melantik dan melatih 10 orang wakil komuniti tempatan. Mereka dibekalkan dengan peranti pemantauan tekanan darah digital serta kad rekod untuk membolehkan aktiviti saringan kendiri dilakukan secara berkala secara langsung di dalam kampung. Malah, sebuah kumpulan WhatsApp khas turut ditubuhkan bagi memudahkan susulan, khidmat nasihat, dan perkongsian maklumat kesihatan secara maya. 

Hasil daripada pelaksanaan projek ini, satu lonjakan luar biasa direkodkan pada tahap literasi kesihatan penduduk, di mana skor PSKA melonjak tinggi daripada 50.6% kepada 98.2%. Maklum balas daripada fasa pemantauan pada bulan ketiga dan kelima menunjukkan keberkesanan yang amat memberangsangkan.

“Penduduk kini menyuarakan keyakinan yang lebih tinggi dan bersikap proaktif dalam menjaga kesihatan harian serta patuh kepada arahan pengambilan ubat-ubatan, ujar Azman wakil komuniti yang dilatih.

Sebelum ini komuniti takut untuk berjumpa doktor, tetapi sekarang mereka telah mendapat pengetahuan baru dan telah menujukkan penerimaan yang sangat positif, tambah beliau lagi.

 

  • Hits: 27